Showing posts with label Cerita Adik Beradik. Show all posts
Showing posts with label Cerita Adik Beradik. Show all posts

Wednesday, January 4, 2012

Hantu Kepala Tiga Segi

1992

Angah baru nak masuk darjah satu. Aku dah darjah empat. Dah jadi senior adik aku. Bukan senang-senang dia mau tunjuk samseng sama aku sebagai abang. Sekolah rendah kami ni lain macam sikit dia punya permandangan. Belakang sekolah ada jerat cina. Kubur cina la kalau hangpa tak faham sangat.

Aku dari darjah satu tak penah jumpa apa-apa yang pelik kat sekolah ni. Masa masuk darjah satu tahun 1989, bapak aku hantaq sampai depan kelas saja. Lepas tu dia tinggal aku duduk dalam kelas sambil aku pegang botol ayaq talipon tangan. Bekas air talipon tangan ni tak semua pernah ada. Hebat rasanya bila ada bekas ayaq talipon tangan ni.

Angah pulak, hari pertama masuk sekolah darjah satu bapak aku tinggal dia jugak selamba saja. Hari pertama Angah berjalan seperti biasa saja. Member-member sebaya dia ada yang menangis, paling kurang pun panggil mak masing-masing. Depa bukan tau mak depa duk sibuk masak kat rumah. Angah dapat melepasi hari pertama persekolahan dengan hebatnya sebagaimana abang sulungnya yang lagi hebat.

Hari kedua Angah balik dengan muka tak berapa nak seronok. Mungkin dia kalah main galah panjang. Aku sebagai budak darjah empat berfikir mungkin dia masih belum ready dengan situasi dan pemikiran budak-budak sekolah rendah macam aku ni. Mungkin dia masih terbawa-bawa dia punya perangai tadika.

Hari seterusnya Angah menunjukkan sikap tadikanya dan kemanjaannya terhadap rumah. Asal nak pi sekolah dia dah memberontak tak mau pi. Baru masuk seminggu Angah dah terjebak dalam gejala ponteng sekolah yang baru nak up masa tu. Aku hanya menggelengkan kepala terhadap budak-budak yang baru nak kenal darjah satu macam ni. Sebagai budak darjah empat ,tak berapa manis kalau aku lempang adik sendiri depan mak bapak aku. Aku biar bapak aku handle dulu mana yang patut. Bapak aku steady tak kata apa bila Angah tak mau pi sekolah. Dia pujuk Angah dengan kasih sayang yang tinggi. Timbul cemburu pulak sama Angah sebab aku nak ponteng mengaji masa darjah satu dulu pun bapak aku selamba tibai dengan tali pinggang.

Satu hari Angah demam. Aku pikir dia belum cukup kuat mengharungi cabaran sebagai budak darjah satu. Belum cukup power nak hafal sifir 36 dan surah Al Khafirun macam aku. Pada satu malam, selepas 3 hari Angah demam dan berjaya untuk ponteng tanpa dimarahi bapak aku, seorang ustaz datang rumah aku dengan ilmu yang agak power pada pandangan budak darjah empat macam aku. Nama dia ustaz Termizi. Aku rasa ustaz ini mempunyai ilmu silat Keris Bersepuk Emas yang hebat macam Eman Manan.

Dari dalam bilik aku tengok ustaz baca surah panjang-panjang. Aku masa tu paling power baca Al Fatihah sama 3 Qul sambil pejam mata. Itu pun member sebelah meja aku pun tergagap-gagap lagi nak baca. Kemudian ustaz tiup dekat ayaq botol depan dia. Selepas itu, bapak aku terus berborak sama ustaz sambil makan pisang goreng dan ayaq kopi. Aku nak mencelah pun tak berapa sopan sangat. Hal orang-orang tua macam ni kalau budak darjah empat menyampuk boleh kena lempang kiri kanan.

Sambil menunggu sesi orang-orang tua menyembang, aku usha Angah dalam bilik. Dah kebah sikit demam dia. Dah 3 hari dia ponteng sekolah. Aku tak tanya pulak macam mana dia punya ayat dan strategi power untuk ponteng sekolah. Oleh itu, aku kena risik-risik ilmu ni dengan dia. Mungkin aku boleh pakai esok lusa. Sepanjang dia ponteng, bapak aku tak pernah tibai dia dengan tali pinggang.


"Pasai pa hang boleh ponteng sekolah sampai 3-4 hari ni? Pak tak pukui hang pulak tu. " aku bertanya sambil menggenggam ego budak darjah empat. Ada secebis perasaan cemburu di situ.



Dengan suara terketaq-ketaq, Angah menjawab...


"Ada hantu kepala tiga segi ikut aku kat sekolah sampai kat rumah...."

Aku pandang Angah dan berkata..

"Hang ni penakut sangat, tu la aku suruh tengok cerita Kombat! Baru berani!"



Angah senyap dan pandang aku lalu berkata dengan perasaan takut...







"..... la ni dia ada kat belakang hang"

Angah terus menjerit.




Malam itu ustaz Termizi terpaksa kerja lebih masa di rumah aku.




Dan esok aku tak pi sekolah. Demam.

Thursday, September 15, 2011

16 September Tahun Lepas

16 September 2010

Lepas subuh aku sambung tidoq. Hidup bujang macam ni la. Lepas balik dari kampung 2 hari lepas, aku terus kerja. Mak aku ada la selit 3-4 jenis kuih raya buat cover duit makan dia kata. Setakat hidup bujang macam ni kira kuih tat nenas tu umpama nuget Mcdonald, kuih batang buruk bagaikan kentang goreng dan kuih kek pisang nampak macam lampchop.

Pagi-pagi cuti 1 Malaysia ni memang sedap-sedap tarik selimut sambil kipas terpasang ujung kaki. Angin kipas angin tu meniup naik dari bawah terus ke kepala. Bukan kepala lutut atau kepala lain. Terasa macam duduk tepi pantai.

Dah agak-agak tidoq tu macam membosankan, aku bangun gosok gigi. Belum mandi. Aku rasa kalau mandi tengahari nanti kira sekali sapu la. Buat apa membazir nak mandi banyak kali. Hidup bujang macam ni elok berjimat simpan duit kawen. Lepas kuman-kuman dalam mulut dah mati dan lemas dalam sinki toilet aku, aku buat senaman kucing empat lima langkah nak kasik urat-urat badan kembali aktif bergerak. Angkat dumbel 10kilo selang seli sama dua-dua tangan aku selama 30minit tanpa henti untuk mengerakkan otot Clark Kent yang memang terpancar dari titik peluh jantan aku. Sebelum sarapan pagi yang kian nak ke tengah hari, aku pumping 200 kali dengan sebelah tangan. Rutin harian masa bujang. Ehem.

Sambil-sambil bukak siaran Astro celaka kedarah duit rakyat Malaysia dengan rancangan ulang-ulang, aku bersarapan dengan nudget McD yang mak aku kirim, lampchop sama kentang goreng yang aku bawak balik dari kampung semalam. Walaupun sarapan itu sebenarnya rasa kuih tat nenas, batang buruk dan kek pisang.

Melihat rancangan Astro yang membosankan selain bolasepak, berita politik Malaysia bodoh nak mampus gila kuasa, rancangan nyanyi-nyanyi Melayu bangang yang untungkan syarikat komunikasi walaupun suara macam itik bangun pagi, aku merenung ke luar jendela. Depan apartment aku hanya ada gadis-gadis seksi kolej yang gedik, tapi mata aku tidak merenung ke arah rumah mereka, mereka yang merenung ke rumah aku sebenarnya. Aku menikmati panorama langit sekarang. Sudah tak berapa sejuk. Ozon dah makin nipis. Kiamat sudah makin dekat - aku berkata-kata dalam hati setelah otak merungkai persepsi dari pandangan mata aku.Aku sekadar menghembus asap dunhill lembut ke ruang udara yang sememangnya dah kotor.

Sesekali gadis-gadis gedik ketawa sesama mereka untuk menambahkan kegedikkan dan keseksian tubuh tak berapa nak seksi dari pandangan pertama aku (dulu). Aku sekadar mengabaikan jelingan dan usikkan gadis-gadis itu. Walaupun aku bujang dan tidak mempunyai kekasih selama hampir 5 tahun selepas tamat belajar, tak semestinya aku gatal untuk mengorat mereka. Jika mereka berterusan begini, mungkin lebih ramai bayi yang lahir tanpa bapa. Ataupun bapa mereka adalah awang hitam dari Afrika. Waktu itu mereka mungkin akan mengerti apa makna "Sesal kemudian tidak berguna lagi."

Aku bersandar ke dinding bertentang tivi dalam rumah. Sambil mata aku dah kenyang usha kuih tat sama kek pisang tadi. Aku rasa macam nak makan lemang sama ketupat. Tapi sini bukan dekat kampung, sini dekat KL. Semua kena beli. Duit lepas raya macam ni boleh kira tinggal berapa kerat saja dalam dompet. Dalam bank dah tentu-tentu tak cukup baki nak kasik keluar barang sepuloh ringgit pun.

"Ini harinya...dah tiba.." Hati aku pandai pulak bermadah-madah dalam leka menghembus asap dunhill.

Aku pulak tersenyum manis malu sendiri. Sedangkan cerita di Astro tu tak berapa nak kelakar. Bukan tersenyum sebab menonton tivi, tapi ada sebab lain. Kalau nak kira hati punya taman bunga, hari ini bunga di taman aku kembang subur bak taman bunga di Cameroon Hailand.

Ring Ring Ring..

" Ok abang, dah settle. La ni tengah makan-makan."

Achik talipon dari kampung. Adik aku yang zaman dia darjah 1-2 dulu-dulu selalu kena rembat sepak terajang dengan aku. Sekarang dah masuk unibersiti kat KL nun. Dah besaq panjang siap ada marka cun pulak tu.

Aku sekadar senyum sampai ke telinga.

"Hmm. Ok. Kim salam kat semua. Cakap abang tengah outstation."

Aku letak talipon. Sambil bertemankan sebatang dunhill dan berseluar pendek bersingelet hitam, aku hantar sms kepada seseorang:


"Terima kasih awak, selamat bertunang untuk kita" (Aku taruk simbol senyum :).





Tahun ni dia dah jadi bini aku la. Ini cerita tahun lepas punya. Malu la nak kabor tahun lepas, sebab tunang-tunang ni tak boleh nak riuh sekampung. Nanti tak jadi malu sedunia. Dah kawen lain cerita la. Aku punya meminang tak main la ikut rombongan sekali. Aku balik KL 2 hari sebelum tunang. Lepak tengok tivi sambil makan kuih raya.







Baru la rock orang cakap!

Wednesday, August 3, 2011

Puasa 4 : Memori 1990 - Milo Ais

Pengalaman berpuasa bagi aku masa darjah satu memang tak boleh blah. Setakat minum ayaq paip tu benda sia-sia aku rasa selepas masuk darjah dua. Aku rasa darjah dua lagi power. Aku nak posa penuh. Tak macam darjah satu dulu. Posa sikit macam nak pengsan.

Berbekalkan badan dan fizikal budak darjah dua, aku bangun sahur dengan cergas berbanding masa darjah satu. Mak dah masak nasik lauk telur sambal. Dulu telur kicap. Tak ganas sangat kalau tak taruk cili. Adik aku yang nombo dua tadika lagi masa tu. Mana dia tau pengertian puasa tu berbanding aku yang dah darjah Dua Delima ni.

Sahur aku kali ni nasik sama telur sambal kira 2-3 round aku bedal. Boleh cover letih bila main galah panjang kat sekolah nanti. Apa adahal setakat 4-5 round berlari pusing padang berbanding budak darjah satu. Baru jantan.

Dah jadi budak darjah dua pun sekolah kena pi petang-petang. Dari pagi tadi aku duk tengok TV cerita katun. Kadang-kadang sempat usha TV pendidikan sekali sekala tambah ilmu darjah dua. Adik aku memang tak puasa time tu. Dia tadika pun tak lepas lagi. Selamba makan keropok Super Ring depan aku. Sebagai budak darjah dua yang ingin berpuasa penuh, aku tak goyang dengan dugaan tu. Sikit pun tak heran.

Mak tengah sidai kain kat luar. Adik aku steady lagi makan Super Ring. Aku kusyuk tengok TV.

Adik ke dapur, amik minuman mak bancuh tadi.






"Slurrpppp"



Bunyi milo ais kedengaran dihirup segar oleh adik aku.

Aku usha rapat-rapat. Rapat lagi.

Adik menangis. Mak pulak masih menyidai kain di luar.




Aku masih menonton TV sambil lap mulut.

Tuesday, August 2, 2011

Puasa 3 : Selamat Hari Jadi Pak (02/08/1960 - 10/02/2011)

Selamat Hari Jadi Yang ke - 51 tahun kepada arwah bapak aku yang meninggal dunia pada 10 Febuary 2011 yang lalu. Sepatutnya umur dia tahun ni 51 tahun. Disebabkan Allah lebih menyayangi dia, maka kembalilah dia kepada yang maha kuasa.

Pak aku meninggalkan seorang permaisuri yang cantik rupawan, 6 orang hero yang kacak bergaya dan seorang heroin yang comel. Tidak ketinggalan juga seorang cucu sulungnya yang comel macam anak sulung dia dan dua orang menantu bak puteri bulan purnama.

Bagi aku takdak perbezaan yang ketara sangat tahun ni. Berpuasa dan beraya tanpa bapak aku itu saja yang terasa. Perbezaan itu adalah dari kita sendiri. Kita yang mencorak keadaan sekeliling. Kalau kita berduka, maka bersedihlah semuanya. Kalau kita menerima, bersenang hatilah kita. Bermakna, tidak akan ada titisan air mata untuk tahun ini selain air mata kesyukuran. Persiapan seperti biasa sebagaimana tahun-tahun sebelum. Hero-hero ni dah di ajar dari kecik tentang berdikari dan mensyukuri. Bukan di ajar untuk menyusahkan diri, menunggu senang, tidak berusaha, mendengki dan meninggi diri.

Aku sama adik-adik steady. Kami doakan kehidupan pak di sana lebih aman dan doa kami semua sentiasa mengiringi pak. Sebagai penggganti bapak, hero yang utama tentulah aku sendiri sebab anak sulung kena cover family. Walaupun tanggungjawab aku menjaga mak dan adik-adik umpama Clark Kent yang berkuasa hebat dan berwajah kacak, aku masih memerlukan tangan dan sokongan adik-adik aku yang lain supaya kami saling berpaut.

Walaupun pak baru meninggalkan kami beberapa bulan lepas, kami masih kuat mengharungi dan menjaga mak yang tersayang. Anak jantan kalau tak reti nak jaga mak bapak, pi jumpak tok mudim sekali lagi dan sila duduk atas batang pisang.




Apa yang aku boleh cakap, untuk hari ini, sedekahkanlah Al - Fatihah untuk arwah pak aku. Al- fatihah.



Mati itu pasti. Hidup Insyaallah.

Tuesday, June 21, 2011

Selamat Hari Bapak

Semalam hari bapak. Tahun lepas punya hari bapak aku ada tulis surat dalam ini belog. Tak tau la bapak aku pernah baca ka dak. Itu tahun lepas punya cerita.



Tahun ini, aku dan adik-adik aku sambut hari bapak tanpa bapak aku. Dah lebih 4bulan bapak aku pergi buat selama-lamanya. 4bulan bukannya lama. Tapi masih terasa kehilangan dia. Sebagai anak sulung, aku tau tanggungjawab aku kat mak dan adik-adik. Aku di ajaq keras kepala sejak kecik, bukan di ajaq, tapi memang aku kurang ajaq pun. Sebab keras kepala aku ni, aku kuat macam Suria Perkasa Hitam. Aku meratapi pemergian bapak aku pada 10.02.2011 hari tu secara seorang anak jantan. Menangis aku bukan umpama hidup di dunia ni dah takdak makna. Itu bukan watak seorang hero. Bila hang menangis bagai nak rak, hang umpama menidakkan ketetapan yang telah ditentukan oleh- NYA. Lagipun, takkan hang nak tunjuk hang punya mental yang lemah kat adik-adik. Tak hero la.




Arwah bapak aku pergi dengan senyuman yang manis. Aku bersyukur. Walaupun kali terakhir aku berjumpa dengan dia pada 25-28 December 2010. Lepas tu kali terakhir aku bercakap dalam bulan January 2011 sebab bapak aku nak inform tarikh kawen aku. Itu kali terakhir dengaq sora dia. Lama kan? Lama la sebab itu bapak kita. Bila saat pemergian dia 10.02.2011. Aku sama adik kedua aku dalam kereta pulang dari KL ke Perak. Sepupu aku jugak sekali.



Dari awal pagi bapak aku masuk hospital, aku tenang walaupun dalam hati tiada sapa yang tau. 5minit sebelum aku sampai ke hospital setelah memecut kereta aku melebihi had undang-undang jalan, SMS dari adik pompuan aku diterima..."Pak dah tak dak..". Pendek dan ringkas. Aku sebenarnya dah bersedia menerima ketentuan-NYA. Arwah bapak aku sakit tak lama, 2-3hari demam dan dia pergi sebab serangan jantung. Syukur lah kerana dia pergi tanpa menanggung sakit yang lama.



Berdiri dan mengadap jenazah dia setelah tiba di hospital, aku merenung wajahnya yang terbaring kaku. Sebagai hero dalam family, aku kuatkan semangat aku untuk mak dan adik-adik aku. Mereka adalah hero-hero aku sekarang. Sebagai orang Islam yang dididik sejak azali, aku nampak kekuatan semua adik-adik dan mak aku menerima takdir. Semua orang akan pergi bai. Kita jugak. Kuatkan lah hati bila menghadapi saat-saat begini. Memang susah tapi kita patut bersyukur kita masih diberi peluang untuk terus hidup mengejar dunia dan akhirat.



Dari kecik bapak aku ajar tentang kesusahan dan berdikari. Apa ada hal? Macam tu la ajar anak-anak. Biaq susah dahulu. Baru senang kemudian hari. Pesan arwah bapak, jangan kita menganiaya orang lain walaupun orang lain menganiaya kita. Buat baik pada orang, orang akan buat baik pada kita. Biaq orang cari pasal, jangan kita buat pasal. Sabar itu separuh iman. Kalau tak dak iman, boleh tersesat dalam lubang gelap. Guna kesabaran dan akal yang panjang dalam hidup. Berkat kejujuran dan kesabaran akan memberi hasil yang lumayan. Bukan duit yang kita cari tapi pengalaman dan bekalan ke dunia yang satu lagi. Ada faham bai?



Semoga arwah bapak aku dicucuri rahmat. Hanya doa-doa anak-anak,isteri,rakan-rakan, sanak saudara serta orang beriman sentiasa dikirim untuk bapak. Selamat hari bapak pak!



Juga Selamat Hari Bapa sama bapak mentua aku En Mansor yang macho lagi sempoi dan adik lelaki aku yang makin gemuk. Semoga murah rezeki dan panjang umur.



Semoga aku dapat sambut hari bapak pulak tahun depan. Ecehhhhh! Doa tu doa!



P/s: Aku dalam proses untuk menerbitkan sebuah projek kecil-kecilan khas untuk arwah bapak aku. Semoga aku dapat siapkan sebelum hari raya. InsyaAllah.




Hari raya tahun ni dah kena discuss baik-baik dengan orang rumah. Kampung sapa ketupat sama rendang paling sedap. Nasib baik kampung dua-dua utara. Senang cerita.

Thursday, April 21, 2011

Memori Bela Itik - Part 1 (1996)

Keluarga aku ada bela itik masa tahun 1996. Itik telur. Dalam 2000 ekor jugak itik-itik ni kena bela. Masa tu aku tingkatan 2. PMR pun belum amik lagi. Baru belajaq bercinta saja. Tak sempat nak bermadah-madah lagi dah kena bela itik. Lokasi reban itik kat rumah tok aku area Bagan Serai, Perak.

Reban itik lebih besar dari rumah tok aku. Nasib baik tok aku tak kecik hati. Dikelilingi pokok sawit yang rendang. Rumah tok aku jauh sikit dari rumah orang lain. Sebab kawasan tu baru nak naik. Tambah pulak buat reban itik, orang kampung pun belum tentu nak duduk dengan itik.

Tujuan bapak aku bela itik ni untuk tambah pendapatan keluarga. Masa tu aku rasa aku boleh jadi tokeh itik yang berjaya bila adanya itik-itik ni. Tapi aku tak rasa awek-awek masa tu pandang aku kalau aku ialah tokeh itik. Depa tak tau bila jadi tokeh itik ni, boleh makan telur itik dengan percuma. Nak buat kek guna telur itik pun boleh laku. Mungkin depa pikir bila keluar dating dengan tokeh itik ni tak wangi macam tokeh KFC. Ok. Aku terima kenyataan ini. Awek zaman tu memang memilih bab-bab tokeh binatang ni.

Itik-itik aku ni masa mula-mula kenal boleh tahan berlagak jugak depa punya perangai. Sombong. Aku mula-mula nak berkenalan sikit dah lintang pukang lari. Buat bising. Kecoh. Itik ni jenis makan kena jaga. Suhu masa tido malam-malam kena jaga jugak. Haram betui. Kalah perangai jaga budak umur 3 tahun.

Makan 3 kali sehari. Aku kena taruk dedak itik ikut waktu. Pagi, tengahari, petang. Malam itik kurang makan. Diet kata depa dalam bahasa itik. Setelah 2-3 bulan menjaga itik-itik ni, akhirnya aku berjaya jugak memahami bahasa itik mereka. Asal bunyi kat reban saja, itik dah mengelabah buat bising. Itu tandanya ada benda yang kacau. Kemungkinan ular, musang, monyet. Mungkin juga pencuri telur itik.

Kalau aku nak cerita pasal itik ni, 4-5 entry pun tak abih. Nanti aku sambung cerita pasal itik-itik aku ni. Kenangan bela itik ni banyak. Satu-satu la aku cerita. Kali ni kita fokus tentang bunyi itik. Dalam banyak-banyak bunyi itik. ada satu bunyi itik yang aku suka masa tu.


Bunyi itik bermuzik.









Haaaa..kalau ada bunyi duit syiling jatuh banyak, tandanya hang menang besaq!

Wednesday, March 2, 2011

Heppy Beday Mak

Semalam hari jadi mak yang ke 50. Aku nak wish tapi adik-adik cakap tak payah wish sebab mak tak mau sambut harijadi tahun ni. Ok, aku faham sebab bapak aku baru saja kembali ke rahmatullah 3 minggu lepas. So, aku tau apa yang mak aku rasa.Bak kata adik aku dalam bahasa orang putih di fb dia:

"Happy birthday to my mom, even she refused to celebrate or receive any birthday wish from her kids..We know she still sad & miss our late father .."

Tapi mak aku ok. Cuma mungkin sunyi sebab kekasih hati dia yang dia kenal sejak 31 tahun dulu dah tiada di sisi. No hal mak, anak-anak mak masih ada. Sekarang semua kembali normal. Adik-adik aku ok saja. Tapi dalam hati masing-masing tak tau kan? Sedih tu perkara biasa. Semua orang akan mengalami benda macam ni. Cuma orang yang takdak hati perut dan berhati syaitan saja yang tak rasa sedih. Tul dak?

Semalam aku call mak, tapi tak wish beday pun. Saja talipon macam biasa. Sembang punya sembang mak tanya pasal persiapan aku nak kawen ni. Aku cakap semua ok saja. Mengikut perancangan. Mak kata baguih la. Hal-hal kenduri pun tengah berjalan seperti dirancang. Satu saja mak tanya kat aku.

"Kursus kawen hang p dak lagi?"



Pagi tadi jugak aku daftar kat pusat kursus kawen!


Sabtu ahad ni jangan ajak aku pi disko. Sibuk sikit.

Friday, February 18, 2011

PAK

Aku panggil bapak aku "Pak". Pak aku memang garang. Dari kecik dia duk slalu marah aku sebab aku buat silap. Bukan dia saja-saja marah. Dia nak aku jadi orang yang berguna. Bukan saja-saja dia nak melenting kalau aku lepak sampai tengah malam. Sebab dia tak mau aku jadi anak hantu.

Pak aku ada 7 orang anak. Aku yang paling sulung. Anak sulung memang anak yang buas sikit. Dari sekolah sampai abis sekolah menengah memang tak kamcing sangat. Aku memang seorang anak yang memberontak. Bila dah masuk U, aku dengan pak dah boleh borak-borak sikit. Ya la, dah letih dia mengajar aku jadi orang. Nakal-nakal aku pun aku sebenarnya sayang,ambil berat pasal dia. Aku tau dia tau pasai ni. Alaaa..hati bapak mesti dia perasan anak dia punya perangai.

Dah masuk alam kerja sejak 4tahun lepas, pak aku dah tak garang sangat. Boleh buat member. Tambah-tambah adik aku yang kawen tahun lepas dah dapat anak. Secara otomatiknya pak aku dapat cucu sulung. Seronok dia bukan main. Dapat menantu tambah cucu. Pehhh..dah jadi datuk dah pak aku.

Aku sebenarnya dah bertunang. Aku punya urusan bertunang 16 September 2010 itu pun, pak aku punya seronok sampai semua dia tolong uruskan. Aku cuma cakap aku dah ada calon. Baru kenai seminggu. Dia kata "Tak payah hang nak tunggu lama-lama. Hang tu dah makin tua. Cakap kat pak dia duduk mana,kita terus pinang". Aku ok saja. Gila hang! Bertunang tu dah selangkah ke alam perkahwinan kot. Aku bertunang dalam tidoq saja sebab dah balik KL. Aku nak berkahwin bulan 6 ni. Kerbau dia dah siap booking. Menu istimewa dia dah siap planing. Kad kawen dia dah stanby nak cetak.

Aku hanya uruskan perkara-perkara wajib sebelum kawen. Pak aku dah siap planning untuk kenduri aku bulan 6 ni. Aku hanya berharap semua berjalan lancar. Aku tak tipu! Pak aku dah banyak prepare untuk kenduri aku. Anak sulung kawen bai. Mungkin dia tak mau aku terus huru hara. Dia nak ada orang yang jaga aku. Boleh urus aku dengan lebih baik. Aku hanya berharap majlis aku bulan 6 ni akan menggembirakan hati dia. Aku nak pak aku tengok semua yang dia rancang menjadi kenyataan. Aku nak pak aku bergambaq dengan aku dan bakal isteri aku. Aku nak dia senyum, ketawa semasa majlis aku nanti...

Tapi aku tak rasa dia akan bersama aku nanti...tak mungkin pak aku akan ada pada majlis aku nanti...

Allah lebih menyayangi pak aku...semoga dia di tempatkan dia kalangan orang-orang yang beriman dan terpuji...hanya doa anak-anak pak mengiringi pemergian pak.

ALFATIHAH UNTUK EN.SUHAIMI BIN SALIM





02hb Ogos 1960 - 10hb Febuari 2011

Pak aku ada pesan, berbuat baiklah pada semua orang supaya kita dihormati, ramai kawan. Jangan sesekali berbuat jahat pada orang. Kalau orang berbuat jahat pada kita, bukan hak kita nak menghukum, itu hak DIA. Biarkan mereka. Kita hidup biaq bersederhana. Hidup saling tolong menolong tak kira darjat dan pangkat.


Walaupun aku tak sempat nak bercakap dengan dia buat kali yang terakhir, aku terima pemergian dia kerana Allah lebih sayangkan dia. Dia pergi dengan senyuman. Senyuman yang takkan aku lupakan sampai mati. Terima kasih atas segalanya. Anak-anak pak semuanya redha. Mak pun redha walaupun pak pergi meninggalkan dia. Anak-anak sedara pak juga redha. Mereka semua dah anggap pak macam bapak kandung mereka. Mereka juga sedih dan sayangkan pak. Kami semua takkan lupakan pak. Pak adalah bapak yang terbaik bagi kami! Terima kasih sekali lagi.



Pak aku pesan jugak jangan lupa pi kursus kawen!Kalau tak pi macam mana aku nak kawen.

Minggu depan jugak along pi pak!

Tuesday, January 25, 2011

Aniq : Masuk Asrama

Adik aku yang dapat 7A dalam PMR tu dapat masuk sekolah asrama kat area Ipoh. Daftar ini hari. Aku dulu-dulu teringin nak masuk sekolah asrama penuh cam gini, tapi disebabkan pandai aku tak setinggi adik aku ni, aku teruskan sekolah kat kampung saja. Tapi tak semestinya sekolah luar bandar hang tak jadi pandai. Begitulah aku, aku pandai jugak rupanya. Selain pandai dalam bidang pelajaran, aku juga pandai dalam bidang penipuan mak bapak, pandai menghisap rokok, pandai ponteng sekolah, pandai mengendap tapi tak pandai mengorat.

Oleh sebab aku tak mau Aniq megikut jejak langkah aku, aku sebagai abang kena bagi nasihat buat bekalan hidup di asrama. Jejak langkah aku yang bagus hanya pada paras rupa, dia boleh ikut tu. Ada manisnya.

Aku cakap sama dia, hang duk sana berkawan la dengan semua orang, jangan sombong. Jangan hang ikut perangai yang negatif. Jangan lupa menghormati orang lain. Kalau kita hormat orang lain, depa akan hormat kita balik. Buat baik la kat semua orang. Jangan kita cari pasai tak bertempat. Jangan jadi kurang ajaq macam abang.

Jangan lupa baca buku. Jangan lupa sembahyang lima waktu. Jangan lupa siapkan kerja sekolah. Jangan lupa mak bapak dan keluarga yang mendoakan kejayaan dia. Jangan lupa semua yang mak bapak pesan.

Aku harap dia tak lupa. Dia mengangguk tanda faham. Dia takkan lupa la tu.

"Abang pun jangan lupa jugak" Aniq berkata-kata.

"Lupa apa?" aku pulak berkata-kata.

"Duit yang abang janji RM350 tu? Yang Aniq dapat 7A kan."



Aku tak kata apa-apa. Aku hampir lupa.

Friday, December 24, 2010

Amsyar Aniq dan PMR nya!

Adik laki aku Aniq seorang lepasan pelajar Tingkatan 3 yakni pelajar yang baru amik keputusan PMR semalam. Aku sebagai seorang abang yang tegas dan garang aku amat mementingkan kecemerlangan adik-adik aku. Sebagai seorang dewasa aku perlu memantau pembelajaran adik-adik supaya tak terpesong kearah facebook semata-mata.

Budak-budak sekarang main facebook bukan main galak. Lupa abis pasai buku-buku sekolah. Keputusan percubaan dia aku rasa dapat 2 A saja. Aku bebel sama dia.

“Pung Pang Pung Pang. Facebook. Rempit. Pung Pang Pung Pang. Astro. Pung Pang Pung Pang!” Sesekali kena berleter baru budak-budak takut dengan orang dewasa.

Sebelum 2-3 hari Aniq nak amik PMR. Aku cakap sama dia, satu “A” yang dia dapat aku bagi RM50! Aku cakap tanpa ada kesangsian dan tidak berbelah bagi.

Semalam keputusan PMR dah keluaq.




Aniq dapat 7A 1 B.



Ok. Budak-budak sekarang semua mata duitan! huh!


Thursday, December 9, 2010

Achik : Sudah Berpraktikal Di Pulau Pinang

Adik aku talipon cakap dia dah start berpraktikal kat Pulau Pinang. Lega sebab bila dia nak balik kampung, dekat. Tak payah gaduh nak naik bas. Rumah aku sempadan negeri Perak, kalau naik moto dalam 30minit saja. Kalau jogging tanpa henti paling lama pun dalam 3jam. Agak-agak nak jalan kaki boleh makan masa 4jam aku ingat. Tapi yang penting dia selamat sikit kat area sana. Kot-kot apa-apahal jadi, mata-mata aku ramai kat sana.

Dia cakap lagi, tempat lama dia keja part time dulu. Dia praktikal sekali dengan marka dia. Marka dia orang Penang. Muka putih macam amoi. Tapi adik aku tak putih. Gelap. Aku punya warna kulit,kuning langsat. Cerah sikit dari dia. Walaupun dia gelap tapi bakal mak sama bapak mentua dia sayang sama dia. Aku cakap sama dia jaga perangai. Jangan buat benda-benda tak elok. Perangai aku yang elok-elok semua aku dah turunkan pada dia seperti sopan santun, hormat menghormati, ringan tulang, berjemaah di masjid dan yang sewaktu dengannya. Perangai yang tak berapa elok ni aku tak turun kat sapa-sapa. Cukup la aku sorang yang memeningkan kepala bapak aku dulu.

Dia terus bercakap lagi, dia cakap dia dapat gaji sepanjang praktikal dia ni. Part ni aku paling suka dengaq. Masa kat KL tiap-tiap bulan aku salur duit bantuan sama dia untuk teruskan hidup di kota. Dalam erti kata lain, duit bantuan aku dapat di salurkan ke tabung perkahwinan aku tahun depan.

Lepas tu dia cakap sekarang ni dia naik moto bapak pi keja. Moto dia ada kat KL lagi. Moto dia ni dulu moto aku. Aku serahkan kuasa pemilik kat dia. Sebagai abang sulung yang kacak bergaya, lebih jimat jika moto ni dapat di turunkan sebagai harta pusaka keluarga. Sekarang moto tu di Kuala Lumpur.

Adik aku cakap moto tu memerlukan belaian mekanik sebelum dihantar pulang ke kampung. Dia cakap lagi, mekanik tu tokeh kedai moto. Kedai moto tu bukan kedai kebajikan untuk moto-moto. Moto dia tu dah kena sakit diabetis. Dah hampir 10 tahun umur moto ni. Muda-muda dah kena diabetis. Kena operate banyak. Bila kena operate, kena pakai duit. Dunia sekarang semuanya meterialistik katanya. Betui jugak aku kata. Semua pandang duit. Aku cakap dunia ni nak kiamat dah.

Lepas tu dia cakap,



"Abang tolong bayaq duit repair moto RM600 saja"




RM600 saja. Sahaja.



Lalu,aku terus pengsan.


Baru aku tersedar dari pengsan.



"Abang tolong pos sekali moto guna DHL takpun Pos Laju"


Pengsan balik.