Showing posts with label Cerita Fantasi Realiti. Show all posts
Showing posts with label Cerita Fantasi Realiti. Show all posts

Monday, December 13, 2010

Ulasan Buku : Rayyan Fantasi


Sebenarnya salah satu benda yang aku suka baca ialah Novel. Ini bukan sebarang novel. Novel yang aku baca novel aksi ganas-ganas dan misteri. Tapi terselit jugak bab cinta-cinta. Sebenarnya baru aku sedar aku ada bakat membaca sejak dari zaman studi kat U lagi tahun 2005.

Sejujur-jujurnya aku respect sama Ramlee Awang Murshid (RAM) punya novel. Baru 7 bijik novel beliau aku baca sepanjang aku hidup. Selebihnya aku sedang usahakan untuk beli dan baca serta kumpul. Kekangan masa yang agak terhad untuk aku membaca. Aku sedang kumpul buat koleksi dengan menggunakan duit gaji aku. Bukan lagi duit PTPTN.

Aku baru beli novel terbaru beliau ni Khamis lepas. Tapi Khamis malam aku tak start baca lagi. Jumaat siang aku kerja. Jumaat malam baru aku baca. Bermula dengan sebatang rokok dan secawan kopi panas. Aku mulakan bacaan novel ini sambil mengabaikan awek-awek serta Cik Kaunseling yang menghantar SMS. Fokus aku terus kepada bacaan novel ini.

Rayyan Fantasi dimulakan dengan misteri. Persoalan yang lahir menangkap jasad dan fikiran aku untuk terus membaca sampai lupa untuk tengok TV. Air kopi panas yang aku bancuh sudah menjadi sejuk. SMS Cik Kaunseling aku abaikan. Lisa Surihani punya call 6-7 kali, aku tak angkat. Biarkan dia merajuk.

Ok.ok.terus ke ulasan buku. Rayyan Fantasi adalah untuk mereka yang ingin berimaginasi dan suka berfikir dari luar kotak fikiran. Aku memang suka berfantasi. Hidup kena berfantasi dan berimaginasi kadang-kadang. Jangan terlalu memikirkan realiti macam Akademi Fantasia. Ini novel bukan pasal AF! Ini novel yang membuat kita memikir tentang dunia luar. Dunia yang lebih luas dari Bumi.

Olahan dan penceritaan RAM seperti sebuah realiti seperti mana aku membaca novel-novel beliau sebelum ini. Aku terus hanyut dan terus berlayar bersama Rayyan di dunia Fantasinya. Ketamakan kuasa yang digambarkan dalam novel ni adalah realiti dunia kini. Yang lemah ditindas dan yang berkuasa terus menindas. Politik? Dimana-mana ada politik.

Siapa itu Rayyan? Bukan anak sedara aku yang berumur 2bulan. Bukan. Rayyan adalah seorang yang misteri. Hidupnya mesti ada cinta. Cinta itu tidak di khususkan cinta antara insan manusia. Tapi yang lebih penting cinta pada yang satu - ALLAH. Aku seorang yang gila berimaginasi untuk mempunyai kuasa super hero yang tiada bandingannya. Memperjuangkan keselamatan dunia dan planet-planet lain. Tapi aku tak punya kuasa itu. Rayyan lebih beruntung dari aku barangkali. Dia punya kuasa yang aku ingin miliki sekarang dan selamanya!

Pembacaan aku umpama menonton sebuah filem Melayu moden yang penuh aksi,cinta,peperangan dan dakwah tentang Islam. Cukup menarik sehingga aku lupa untuk menghisap rokok dan menghirup kopi sejuk. Aku terus meresapkan jiwa aku ke dalam novel ini. Aku anggap aku adalah Rayyan. Aku terus berperang, merancang dan mencari kemenangan untuk dunia fantasi aku. Aku terus beraksi seperti sebuah filem Hollywood. Dalam cerita ini aku adalah Rayyan. Mempunyai kuasa yang hebat dan nilai-nilai kekeluargaan yang tinggi buat seorang pemuda seusia Rayyan ini.

Bacaan aku tamat jam 2030 pada hari Ahad 12.12.2010. Sebenarnya hari Sabtu aku berdating dengan Cik Kaunseling. Satu hari ternanti-nanti untuk balik rumah dan terus membaca Rayyan Fantasi sampai habis! Cerita banyak pun tak guna kalau hangpa tak baca novel. Tapi aku jamin novel ini antara yang terbaik. Bagi aku semua hasil RAM terbaik. Jangan hangpa terlalu memikirkan logik. Logik atau tak logik itu ada dimana-mana. Cukuplah aku ulas macam ni,orang kata sekadar seulas bawang saja. Kalau hangpa nak tau selebihnya, beli dan baca.

Rasa macam belum cukup puas! Mesti disambung lagi.Brader RAM. Sila sambung lagi.

Kalau hangpa cakap macam ni

"Muka ganas-ganas macam ni baca novel???"

Aku akan jawab macam ni


"Kepala otak hang!"

Tuesday, November 23, 2010

SPM - Hari Pertama (Bahasa Melayu)

Pagi yang indah dengan sinaran mentari perlahan-lahan menyinari ruang langit yang berkabus. Suara kicauan burung menyeri suasana pagi yang hening. Ayam jantan berkokok gagah memecah kesunyian pagi hari. Ayam betina bergerombolan mencari makan sambil anak-anak ayam mengekor rapat ibu mereka. Deruman enjin motosikal dan kereta makin galak di jalan raya. Tandanya manusia sudah bergerak menjalankan rutin harian mereka seperti biasa.

Aku yang sudah bersiap untuk memulakan hari yang penting dalam hidup aku hari ini tenang menghirup air Milo yang mak buat. Aku suapkan 2-3 biji kuih karipap yang mak buat seawal pagi ini. Isi kentang bercampur ayam aku kunyah kemas dalam mulut aku. Sekadar untuk mengisi perut yang kosong pada setiap pagi sebelum ke sekolah. Sementara itu, bapak aku yang baru pulang dari kedai Pak Seman yang terletak dihujung pekan itu duduk berehat di atas kerusi malasnya sambil tangan memegang kemas naskah suratkhabar yang dibelinya tadi. Matanya tertumpu tepat kearah helaian kertas yang bercetak itu. Kadang kala berkerut juga dahinya dikala membaca helaian bertulis itu. Mungkin ada berita yang sedikit menggangu fokusnya di pagi hari itu. Sesekali dia menggelengkan kepala dan menghirup kopi O yang tersedia di tepi meja. Angin pagi di beranda rumah membantu dia berehat dengan tenang.

Aku sarungkan kasut jenama Pallas ke kaki aku. Kasut yang sudah berusia lebih dari satu tahun setengah ini aku sengaja biarkan sedikit terkoyak tanpa diganti dengan yang baru. Tidak perlulah aku membazir hanya kerana sepasang kasut baru. Lagipun, kasut ini telah banyak berjasa selama aku di belajar dari tingkatan 4 hingga saat ini. Lagi 2 minggu mungkin kasut ini akan bersemadi di stor belakang rumah aku ataupun reput dimamah semut dan anai-anai. Semua itu sudah takdir yang tersurat untuk kasut aku ini.

Sebelum melangkah keluar dari pintu rumah aku, tangan mak aku cium. Dari sinar matanya aku tahu dia sentiasa berdoa untuk kejayaan aku. Aku faham maksudnya dari pandangan dan usapan tangannya pada kepala aku. Bapak pulak memandang sipi sambil tangan masih memegang kemas surat khabar. Aku berjalan menuju beranda. Salam dan cium tangan bapak. Dia hanya mengangguk sepi tanpa kata-kata. Tapi dalam hatinya dia turut mendoakan kejayaan aku hari ini. Setelah mengambil berkat dari mak dan bapak, aku mula melangkah bersama dua kaki aku yang dikurniakan sempurna dariNYA. Syukur aku dilahirkan sempurna sifat walaupun sebenarnya tiap-tiap manusia ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. DIA tidak pernah membezakan kita, cuma kita yang sering membezakan darjat, paras rupa dan harta benda.

Adik-adik aku yang lain sedang bersarapan. Mereka masih belum merasai saat yang aku lalui hari ini. Tiba masanya nanti mereka akan mengharunginya jua. Aku melangkah keluar melepasi sempadan pagar rumah. Debaran semakin kencang bila kaki melangkah ke sempadan sekolah. Jarak yang tidak begitu jauh antara rumah dan sekolah membolehkan aku hanya berjalan kaki setiap hari untuk menuntut ilmu. Rakan-rakan seperjuangan sudah lama tiba. Masing-masing tertumpu pada nota-nota yang digarap kemas oleh mereka sendiri. Sekadar menyapa dan memberi salam, aku terus menuju ke rakan-rakan lain. Turut serta dalam kesunyian yang jarang terjadi sebelum ini. Masing-masing fokus dan ada yang hanya duduk bersandar pada kerusi kayu menunggu untuk memasuki dewan peperiksaan. Tiada lagi hilaian tawa yang kuat seperti biasa. Dari riak wajah dan tumpuan mereka, semuanya terarah ke satu matlamat. SPM.

Hari ini adalah permulaan kepada sebuah perjuangan. Aku juga ada cita-cita yang aku impikan. Aku duduk ke meja yang tetah ditetapkan . Berhadapan dengan rakan-rakan aku yang lain. Tiada suara-suara nakal yang kedengaran. Aku juga sepi tanpa suara. Hanya senyuman yang aku sedekahkan kepada petugas-petugas manis yang ada di dewan peperiksaan sekolah aku. Muka yang tidak pernah aku lihat sepanjang bersekolah di situ. Ya, selalunya pengawas peperiksaan ini didatangkan khas dari sekolah lain. Ada yang muda, ada yang tua. Tapi itu bukan tumpuan aku sekarang. TUmpuan aku hanya pada helaian-helaian kertas yang terhidang di depan mata aku sekarang. Subjek Bahasa Melayu @ Bahasa Malaysia. Satu subjek yang aku yakin aku akan membawa kejayaan.

Apa yang penting sekarang adalah tumpuan dan ketenangan yang aku kawal dalam diri. Semua itu akan berjalan lancar seiring doa-doa orang tersayang. Mata pena terus rancak menari-nari di laman kertas putih yang bergaris. Aku terus fokus. Fokus. Dan fokus seperti mana aku menulis entry blog hari ini yang aku tujukan khas untuk pelajar-pelajar yang menghadapi SPM bermula hari ini. Selamat maju jaya.

Sekian. Terima kasih.


************

Hah!hangpa tengok aku punya karangan tu. Ayat aku guna semua ada dalam kamus. Hari ni saja aku pakai bahasa kamus. Esok lusa bahsa macam biasa. Tak sia-sia dapat A masa SPM dulu. Aku SPM tahun 1999. SPM tahun 1999 yang last guna pakai Pangkat 1,2,3, or SAP. Start tahun 2000 hangpa pakai kira ABCDEF dah.

Untuk hari pertama SPM, beginila lebih kurang. Selamat amik SPM kepada budak-budak SPM & STPM. Buat yang terbaik. Jangan jadi macam budak yang cium tepi jalan tu. Bodoh piang orang utara kata.

Friday, October 22, 2010

Pettoxic : Medical Check Up IJN - Part I

IJN 16 October 2010

Kereta EVO Persona 30 sampai tepat dengan kelajuan cahaya jam 0745 pagi. Kelihatan awek-awek misi berjalan terkedek-kedek menuju pintu masuk hospital. Aku parking kereta secara driff. Tepat ke dalam kotak parking. Pak guard IJN terpaku. Kelu tidak terkata. Terkesima dengan kehebatan parking aku.

Aku berjalan menuju pintu masuk IJN. Seiringan dengan misi-misi comel yang menjinjing beg tangan masing-masing. Berbekalkan Ray Ban uptown Kota Damansara yang kelihatan original, misi-misi comel memandang tersipu-sipu malu. Langkah aku makin laju menuju ke kaunter. Takut terkena panahan asmara. Bimbang misi-misi ini tahu aku adalah makhluk asing dari planet Kripton. Kuasa aku akan hilang. Tiada lagi kekuatan tangan besi kekebalan kulit dari apa jua serangan. Bimbang juga kekasih hati di planet Kripton cemburu.

Aku diarah ke makmal pemeriksaan yang dikhaskan. Tiada manusia lain yang kelihatan. Sunyi sepi. Tiba-tiba keluar seekor mahkluk aneh yang mempunyai lapan tangan. Bukan Spiderman! Spiderman ada 2 tangan saja. Aku yang sedang sedap-sedap duduk di atas sofa IKEA yang lembut melompat bangun. Makhluk aneh itu mempunyai 8 bijik mata. Dua didepan,dua lagi di belakang. Lagi empat mata di gantung di leher. Rupanya bukan mata, tapi buah mata kucing yang sudah dibuang kulit.

Berkaki tiga dan kulit berbulu-bulu seperti gorila. Taring yang tajam putih bersinar-sinar. Pandai dia menjaga gigi walaupun rupanya tidak kacak. Aku mengambil kedudukan yang strategik untuk bertindak.

"Ahh..mesti ada yang memberi maklumat tentang kehadiran aku di sini", detik hati aku sendirian. Mungkin ada musuh yang mahu membunuh aku dan mengganggu kehidupan dunia dengan anasir-anasir jahat mereka. Aku tak kan mengalah.

Makhluk itu menerkam ke arah aku. Aku tak sempat mengelak. Aku menahan serangan dengan tangan aku. Giginya yang tajam tidak mampu menewaskan kekebalan tangan besi aku. Makhluk itu terpinga-pinga. Satu tumbukan padu dilepaskan tepat ke dada makhluk aneh itu. Dengan sekali kuasa api yang ada, aku tumbuk tepat ke jantungnya.

"Arggghhhhh!!!!"

Makhluk aneh itu mengelupur kesakitan lalu cair dan terus cair dan cair lalu hilang dari pandangan. Kabus tebal yang menyelubungi ruang bilik menunggu IJN itu beransur-ansur hilang dari pandangan. Lalu aku berjalan menuju bilik-bilik doktor. Kemungkinan mereka dikurung oleh makhluk itu.

Jangkaan aku tepat. Mereka dikurung dalam satu bilik. Doktor-doktor bersama misi-misi comel dalam ketakutan. Aku membebaskan mereka dengan kekuatan tangan aku.

"Oh..terima kasih wahai pahlawan dunia" ucap salah seorang doktor perempuan.

********************

"Encik, masa untuk ambil darah." misi comel berkata.

Aku tenang menuju bilik darah. Kelihatan seorang awek manis siap menunggu dengan jarum suntikan darah. Noni a.k.a Akak Noni tertera namanya di atas meja. Aku tenang. Cuba mengawal kuasa dan perlahan-lahan aura di tangan aku susut. jarum perlahan-lahan di cucuk...







"Adoi..."

Thursday, October 7, 2010

Pettoxic - Pahlawan Masa Depan

Khamis 07 Oktober 2010 1215 hours

"Sekarang macamana mau settle?"

Aku diam. Memang tak mahu bersuara sangat. Mamat depan ni dah usha rapat. Aku steady. Setakat jelingan kerek ujung anak mata tu aku tak heran sangat. Aku jeling dengan jelingan tajam bak duri. Mamat tu senyap. Tertunduk. Sambil tangannya yang menggengam sebatang pen terus menari-nari kosong di atas sekeping kertas di hadapannya.

"Tak boleh kurang ke?"

Aku mula berkata-kata dengan tangan memegang lembut meja milik mamat itu. Tiada sinaran kemarahan juga tiada jelingan pahlawan yang keluar dari anak mata berwarna coklat milik aku ini. Hanya kata-kata lembut yang bisa membuat anak-anak gadis jatuh cinta dengan hanya dengan frekuansi suara aku.

"Tak boleh. Dah tetap. Memang tak dapat nak kurang lagi."

Mamat tu menjawab sopan tapi tegas. Mungkin dia dapat rasa aura dalaman seorang pahlawan seperti aku. Walaupun aura ini aku tahan dan simpan kemas dalam aliran-aliran badan dan urat saraf aku tanpa dikeluarkan sedikit pun. Barangkali ada aura yang terlepas dari saraf-saraf dan urat-urat halus badan aku. Aura-aura ini bisa menjadikan aku seorang pahlawan hebat di masa kini. Kekuatan azali yang aku miliki sejak lahir. Mungkin jika di planet asal aku, aku adalah pahlawan bangsa yang tiada tolok bandingnya. Tapi aku kini di bumi. Aku sudah menjadi manusia biasa. Kekuatan aku hanya digunakan untuk menyelamatkan manusia dari kesusahan. Bukan digunakan untuk kepentingan diri.

Mamat itu terus menunggu jawapan aku. Jelingan tajam aku bertukar normal. Aku tarik nafas dalam-dalam. Mamat itu berpeluh. Mungkin risau jika aku bertindak diluar batasan. Dia nampak seperti bersiap sedia jika aku bertindak. Di sisi tangan kirinya menggenggam erat sebijik pistol dan tangan kanannya mengarahkan yang lain supaya bersedia jika aku mula bertindak. Di sekeliling aku sepi. Hanya mendengar hembusan nafas dan angin sepoi-sepoi kuih tat yang bertiup sayup-sayup dan sesekali meghempas rambut aku. Terasa dingin dan nyaman dikala angin itu menyusup ke peluh yang menitik di dahi aku.

"Baiklah jika itu yang kalian semua mahu. Aku mengalah pada kalian semua."

Aku berkata lau aku keluarkan sesuatu dari poket belakang aku.

"Tap!Tap!" kedengaran senapang dan pistol sedang diselaraskan. Semua seperti bersiap sedia. Keadaan hening. Aku perlahan-lahan mengeluarkan tangan aku dari poket. Semua mata menumpu sepenuh perhatian. Mamat depan aku mula gelisah. Walaupun dia tahu dia diawasi dan di lindungi rakan-rakan seangkatannya. Aku tahu, jika aku bertindak membangkang dan melawan, aku akan tewas. Aku kawal kuasa aku. Aku terpaksa mengalah kali ini. Untuk sekian kalinya seorang pahlawan masa depan terpaksa mengalah dan mengundur diri.

"Nah..ini saja yang aku ada untuk bulan ini" aku hulurkan sesuatu kepada mamat tersebut. Dia mengambil tanpa ada perasaan takut. Dia tersenyum lalu ketawa berdekah-dekah.

******************

Ya...aku tewas tanpa pertarungan yang sering aku menang bila bertarung. Kuasa aku tidak boleh diguna pakai di sini. Aku redha. Mungkin ini yang terbaik untuk aku. Tanpa ada pertumpahan darah. Aku juga sedar mereka ini tidak bersalah. Mereka hanya menjalankan tugas mereka. Tidak sesekali mereka mengganggu aku. Aku yang telah melanggar undang-undang bumi. Jika aku tidak mengalah, sampai bila-bila pun aku akan terus tewas.

Aku keluar dari kawasan itu dengan selamat. Kereta Pesona EVO30 aku sedang siap menunggu aku diluar. Kereta yang berteknologikan sistem angkasa lepas ini hanya ada satu di bumi ini. Memang tiada siapa yang tahu kereta aku sebegini rupa. Pecutan seperti cahaya dan deruman enjin yang tiada tolok bandingnya di muka bumi.

Kereta aku juga boleh bersuara seperti mana Knight Rider. Ini saja teknologi yang aku cilok dari tahun 80-an. Selebihnya aku dapat dari kapal angkasa aku yang terhempas ke bumi 28tahun lepas. Memang sudah ditakdirkan kereta ini dibentuk dan disuntik sebegini rupa supaya seorang pahlawan seperti aku dapat menewaskan musuh-musuh di bumi.

"Macam mana tuan? Adakah kita sudah selamat untuk bergerak kemana-mana?"

Kereta Pesona EVO30 bersuara. Aku tekan butang panduan secara automatik. Biarkan dia memandu sendiri. Aku masih terganggu dengan situasi tadi.

"Sudah, lepas ni tiada masalah lagi untuk kita berdua." jawab aku tenang kepada PEsona EVO30. Lalu terus dia memainkan lagu Sudirman "Horey..horey..hip hip horey..."

Fikiran aku terus melayang meikirkan situasi tadi. Perlahan-lahan aku imbas perbualan aku dengan rakan seperjuangan aku semalam.





Flashback

Rabu 06 Oktober 2010 1000 hours


"Lu punya rodtax kereta tak boleh renew bai. Kena blacklist. Lu pi bayar saman dulu kat balai trafik."



Di sebuah balai polis trafik.


"Bagus jugak blacklist pesalah trafik yang tak mau bayar saman. Kasi blacklist nama masa nak renew rodtax baru nak datang bayar."


Tamat.