Monday, April 25, 2011

Kehidupan Budak Kampung (1980an)

Aku pi pasar pagi sambil tangan dipimpin mak aku. Berbekalkan seluar pendek dan baju t-shirt yang ada poket buah tembikai kat depan, muka penuh bedak dan rambut sikat tepi. Minyak rambut Code-10 kaler biru memang stlylo abis bila pakai. Kalau berpeluh pun kaler biru. Tapi kalau pi pekan kena bergaya. Nanti malu kalau terserempak dengan anak dara jiran-jiran.

Aku berjalan sambil dipimpin tangan. Mata melilau tengok benda mainan kat apek jual mainan. Ada kapal korek kaler kuning sama jentolak besar. Kalau main pasir kat depan rumah memang member-member jakun abis. Ada kereta kecik-kecik yang boleh tukar kaler bila rendam dalam ayaq sejuk. Aku berenti tengok. Tapi belum sempat tengok, tangan dah kena tarik dengan mak. Mak nak beli bawang sama barang-barang dapur. Aku tak pernah main bawang buat mainan.

Ada pakcik jual belon kat depan. Aku nak tapi mak tak lepaskan tangan dari genggaman dia. Aku terpandang Tora sama Ding Dang. Ada skali coklat Nini. Lagu iklan terus bermain dalam ingatan aku.

“Nini cokelat celup.. celup celup..Nini cokelat celup celup..”

Aku cuit-cuit mak. Mak tengah sibuk pilih bawang.

“Apa dia hang ni?” mak mencebik marah sebab aku tarik kain dia. Aku tunjuk kat mak tempat mainan tu. Muka penuh harapan.

“Tu..tu..” aku cakap sambil jari akku menuding ke arah gerai mainan tadi. Dari celah-celah kelibat orang ramai, aku terpandang Pedang Thundercat tergantung tinggi kat gerai tadi. Alamak. Itu kalau dapat memang champion habis la. Hati dah memberontak nak mainan.

“Dah..dah..jom balik!” mak cakap.

Air mata aku dah menitis. Takkan tak dapat satu pun mainan?

“Nah, beli ais kepai ni” mak belikan aku satu ais kepai kat satu kedai. Ais kepal ni macam ABC tapi takdak kacang ja. Cuma ais mesin campur air gula sirap tak pun perisa sarsi. Balik rumah naik teksi. Teksi pulak takdak aircon. Cuma ada kipas kecik kat dashboard. Berpusing macam tak cukup makan. Panas. Teksi harap saja jenama Mersedis.

Balik rumah mood nak tengok kartun Tosho Daimos dah kurang seronok. Sebab merajuk tak dapat sekurang-kurangnya Dingdang sekotak. Lagipun mak dengan bapak nak tengok cerita Kadir dan Doyok. Cerita Indonesia ni dah menular sejak dua menjak ni.

Petang tu aku bawa diri ke belakang rumah. Depan parit aku termenung. Apa aku nak main ni? Aku ambik tanah liat dari dalam parit. Aku ambik banyak. Cukup untuk aku buat kereta tanah liat. Aku siap bentuk lepas tu jemur kat panas. Kasik kering. Dah siap satu bijik kereta tanah liat buatan Malaysia.Sepupu aku datang ajak main kawen-kawen. Cisss! Apa barang main kawen-kawen.

“Hang tak payah jadi pengantin, hang jadi tukang masak saja” sepupu aku memujuk. Nak main masak-masak dengan budak pompuan tak jantan langsung aku cakap kat dia. Aku cakap dia pondan. Dia menangis balik rumah. Padam muka.

Aku rasa main kombat-kombat best jugak. Aku roger geng-geng kampong aku. Aku pi rumah depa sorang-sorang sambil menggalas senapang kayu yang aku buat siap dengan peluru batang bemban. Tapi kawan-kawan aku dah pi main “tuju kasut” @ “baling selipar”. Panas-panas macam ni pi main benda meletihkan macam tu. Terpaksa jugak aku join sekali. Dalam keseronokan bermain aku dah lupa pasal pedang Thundercat.

Hari dah petang, sebelum balik rumah aku pi mandi parit dengan geng-geng. Parit tak dalam sangat. Boleh lagi cari kupang sama siput sambil mandi-mandi. Umur aku macam ni kalau mandi kat tengah-tengah parit tu boleh lemas jugak. Tok bilal dah azan dah tu. Aku duk rilek main sabut kelapa buat kapal layar. Nak beli boat berkuasa bateri kat pasar malam jangan harap aku nak dapat. Ding Dang tu kira nasib baik la kalau bapak beli.

“Alonggg..balikkkkkk!!! Dah senja ni!” dari jauh aku dengaq bapak aku panggil. Mengelupur aku sama sepupu sama member lari naik balik rumah masing-masing. Aku terus berlari. Sampai kat pintu belakang dapur, usha kiri kanan. Usha lagi. Line clear. Baru nak menjejak kaki aku...

“Piaappppppp!”libasan tali pinggang bapak dah melekat kat belakang badan. Aku steady tak menangis. Aku tipu. Aku mengelupuq sakit kat lantai time-time tu jugak. Sakit tak ingat.

“Satu hari duk merayau sampai tak ingat nak balik! Pi siap cepat pi mengaji!” tu dia. Ayat bapak kat anak sulung memang camtu. Sambil mandi sambil menangis tersedu-sedu. Lepas siap mandi, pi mengaji. Berbekalkan sebuah Muqqadam sama sebatang duri landak aku pi menuntut ilmu kat nenek sebelah rumah. Lepas mengaji balik rumah. Badan dah letih sangat. Duduk depan TV. Aku tertidoq dengan songkok kat kepala. Tak sempat makan malam lauk telur goreng taruk kicap.

Mak geleng kepala tengok aku tidoq. Datang bapak angkat aku yang lena dibuai mimpi terus ke dalam bilik aku. Adik-adik aku dah tidoq. Budak-budak hingusan macam tu mana boleh join main dengan aku. Nyamuk pulak setakat telan ayaq liur la sebab aku tidoq pakai kelambu. Jangan harap bapak aku nak derma darah manis anak dia kat nyamuk-nyamuk.

Sepanjang aku tido masa tu aku tak mimpi basah lagi. Umur pun baru nak naik. Sunat pun belum lagi. Esok dah nak bangun pi tadika. Tahun depan dah boleh masuk darjah satu. Tak sabaq nak beli baju sekolah! Tapi sekarang aku di tadika lagi. Tunggu tahun depan aku cerita bila dah masuk darjah satu.

Sekian. Terima kasih. Dari budak tadika kampung.








P/S: Entry tahun lepas aku pos kat BLOG SOLTURA

1 comment:

  1. t-shirt poket buah tembikai kat depan memang in zaman tu pett. aku pun ada sehelai dulu.

    ReplyDelete